PE2U I PGBO

Simpan Emas Demi Masa Depan

Kenali BRICS – Matawang baru dunia?

3 min read

Penubuhan BRICS

BRICS adalah gabungan nama bagi 5 buah negara iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Berdasarkan sejarah, nama asalnya BRIC sahaja ditubuhkan pada tahun 2001 dengan penyertaan empat buah negara iaitu Brazil, Rusia, India dan China sahaja. Namun pada 2010, Afrika Selatan telah mula menyertai gabungan tersebut lalu terbentuklah BRICS. Pada awal penubuhannya, Amerika Syarikat dan Barat tidak memberikan perhatian serius kerana percaya ia tidak mampu pergi jauh dan berkembang sebagai sebuah organisasi yang kuat.

BRICS juga diragui menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan Barat malah terdapat keraguan tentang persefahaman dan kerjasama antara negara anggota BRICS terutamanya antara China dan India yang sering kali dilanda konfrantasi terutamanya pertikaian sempadan dan ekonomi. Namun ketika itu terdapat sebilangan kecil pakar geopolitik yang percaya dengan potensi besar yang mampu dicapai BRICS jika China dan India mampu menyelesaikan pertikaian antara mereka.

Kelebihan dan potensi besar BRICS ialah populasi negara anggota BRICS yang berjumlah 3.21 bilion orang yang merangkumi lebih daripada 41.5 peratus penduduk dunia. Keluasan negara anggota BRICS dianggarkan berjumlah 27 peratus daripada keluasan muka bumi. KDNK negara anggota BRICS berjumlah USD26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada Keluaran Kasar Dunia dan dianggarkan mempunyai rizab asing berjumlah USD4.46 trilion pada 2018.

Negara anggota BRICS adalah antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, bijirin, arang batu, bijih besi, tembaga, aluminium, nikel dan emas termasuk juga komoditi berharga seperti platinum dan palladium. Jika mengambil kira China yang digelar sebagai “world factory“, BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama geopolitik dan ekonomi dunia.

Namun selepas beberapa tahun penubuhan BRICS, ia dilihat seperti kaku dan tidak berfungsi malah ketika itu telah mula kedengaran suara-suara yang mengatakan BRICS tidak mampu bertahan lama terutamanya ketegangan yang semakin memuncak antara China dan India dalam pelbagai isu.

BRICS menjadi ancaman barat

Semuanya telah berubah sejak Rusia memulakan Operasi Ketenteraan Khas di Ukraine. BRICS kini telah menjadi ancaman utama kepada Amerika Syarikat dan Barat untuk kelangsungan hegemoninya ke atas dunia. Lebih mengerunkan mereka ialah permohonan baharu negara di dunia untuk menyertai BRICS yang dijangka mampu menggugat organisasi seperti G7, WEF dan NATO.

Iran, Arab Saudi, Mexico, Algeria, Argentina, Indonesia dan berkemungkinan Turkiye adalah antara negara yang telah memohon untuk menyertai BRICS dan dijangka akan diterima permohonannya. Di samping itu juga terdapat beberapa buah negara lagi turut dijangka akan memohon untuk menyertai BRICS sebelum bermulanya Sidang Kemuncak BRICS yang dijadualkan akan berlangsung di Durban, Afrika Selatan pada Ogos tahun ini. Dijangka kemasukan negara anggota baharu ini akan menjenamakan semula BRICS kepada BRICS+.

Bayangkan penyertaan pelbagai negara seperti yang dinyatakan tadi, tentunya ia akan memberi impak positif kepada BRICS, impak yang bakal merubah geopolitik dan ekonomi dunia. Bayangkan kekuatan KDNK dan Keluaran Kasar Dunia keseluruhan negara anggota BRICS, jumlah populasi dan keluasan negara anggota BRICS serta lain-lain kelebihan berbanding Amerika Syarikat dan Barat.

Matawang utama BRICS

Agenda utama BRICS adalah untuk mengurangkan penggunaan dolar Amerika Syarikat dalam setiap transaksi perdagangan. Matawang Yuan China dijangka akan diangkat sebagai matawang utama BRICS. Namun begitu ada juga yang menjangkakan penggunaan “basket currency“ atau matawang pelbagai negara anggota BRICS dalam urusan perdagangan dengan negara lain dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan dollar Amerika Syarikat.

Ketika ini usaha ke arah itu dilihat telah bermula apabila Brazil dan China pada Rabu lalu menandatangani perjanjian perdagangan dan bersetuju untuk menggunakan matawang sendiri dalam urusan perdagangan. Minggu lalu Kenya telah menandatangani perjanjian untuk mengimport minyak mentah dari Arab Saudi dan membayarnya menggunakan matawangnya sendiri dan dijangka akan terdapat banyak lagi pengumuman sebegini bermula sekarang.

Jika ia berterusan begini dan lebih meluas dipraktikkan di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan negara-negara Selatan, ia mampu memberikan kesan negatif yang besar terhadap nilai dolar Amerika Syarikat seterusnya menjejaskan ekosistem ekonomi Amerika Syarikat dan Barat. Dalam erti kata lain, ia adalah petanda bermulanya keruntuhan ekosistem ekonomi Amerika Syarikat dan Barat terutamanya nilai dolar Amerika Syarikat.

Hubungan antara negara anggota BRICS menjadi semakin erat sekali gus menarik lebih banyak negara untuk menyertai BRICS dan ia telah mencetuskan kebimbangkan Barat. “Dalam sekelip mata“ BRICS telah menjadi ancaman utama Barat dan kelihatan saat ini Amerika Syarikat dan Barat sedang mencuba sehabis mungkin untuk menggagalkan BRICS.

Melihat kepada keadaan semasa, BRICS dijangka akan menenggelamkan Amerika Syarikat dan Barat tidak lama lagi seterusnya akan mengakhiri penguasaannya ke atas dunia. Namun persoalannya adakah Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya akan membiarkan ia berlaku? Dan adakah ini petanda awal harga akan naik mengikut harga sebenar?

Mulakan simpanan emas hari ini serendah RM100 melalui akaun Gold Accumulation Program. Dapatkan maklumat lanjut disini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Radio
WP Radio
OFFLINE LIVE
Info Lanjut
Hai, boleh saya bantu?